Wednesday, 12 October 2011

Kontroversi pengadil layang 15 kad masih panas

- Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) , Datuk Astaman Abdul Aziz mempertahankan kewibawaan pengadil Nafeez Wahab.
Nafeez mencetuskan kontroversi selepas melayangkan lima kad merah 10 kad kuning ketika mengadili perlawanan Terengganu menentang Kelantan dalam suku akhir pertama Piala Malaysia, Isnin lalu.
Bagi Astaman pertemuan antara dua seteru pantai timur itu sememangnya perlawanan yang tegang dan tindakan Nafeez akan di anggap sesuatu yang kontroversi, sekalipun tindakan itu betul dan tepat.
"Nafeez melakukan  tugas dengan baik dan mengambil tindakan sewajarnya, meskipun bilangan kad merah dan kuning yang dilayangkan adalah yang terbanyak dalam sejarah Piala Malaysia," katanya.
Astaman juga menegaskan bahawa Nafeez adalah  pengadil yang memiliki kelayakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FOFA) dan antara lima pengadil terbaik di Malaysia.
Astaman menolak andaian jawatankuasanya bersikap sambil lewa dalam pemilihan pengadil sebaliknya menegaskan hanya pengadil terbaik dipilih untuk perlawanan berstatus penting.
 
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin meminta Kelantan dan Terengganu yang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan menghantar laporan rasmi kepada FAM.
Bagaimanapun, Hamidin yang juga Timbalan Presiden FAM tidak menafikan situasi ketika perlawanan agak luar biasa dan sukar menjangkakan kejadian  seperti itu boleh tercetus dalam kancah bola sepak.
"Jika Terengganu dan Kelantan tidak berpuashati dengan pengadil, kedua-dua pihak diminta menghantar laporan rasmi kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan, Datuk Astaman Abdul Aziz untuk tindakan sewajarnya," katanya.
Enggan menunding jari terhadap pengadil yang dikatakan terlalu emosi, Hamidin menjelaskan semua pihak termasuk pegawai serta penyokong juga memainkan peranan penting menjaga tingkah laku yang  boleh menimbulkan provokasi di tengah padang.

No comments:

Post a Comment